Solat ialah perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Setiap orang islam yang cukup syaratnya, wajib menunaikan solat lima waktu.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 103:
اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا
Maksudnya: Sesungguhnya, solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman. (An-Nisa' 4;103)
LIMA WAKTU SOLAT
1. SOLAT SUBUH
Waktu solat Subuh bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbitnya matahari atau dikenali sebagai Syuruk. Solat Subuh ditunaikan sebanyak 2 rakaat sahaja. Niat solat fardhu Subuh ialah:
اُصَلّى فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى
Yang bermaksud: "Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat tunai kerana Allah Ta'ala."
2. SOLAT ZOHOR
Waktu solat Zohor bermula daripada gelincir matahari dari kedudukan tengah langit dan terbentuk sedikit bayang-bayang serta berakhir apabila panjang bayang-bayang itu sama dengan panjang sesuatu objeknya. Solat fardhu Zohor ditunaikan sebanyak 4 rakaat. Niatnya ialah;
اُصَلّى فَرْضَ الظُّهْرِاَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Sahaja aku sembahyang fardhu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala."
3. SOLAT ASAR
Waktu solat Asar bermula apabila diperhatikan bahawa bayang-bayang sesuatu objek lebih panjang daripada objek tersebut dan berakhir waktu Asar apabila terbenamnya matahari. Solat fardhu Asar dilaksanakan sebanyak 4 rakaat. Niatnya adalah seperti berikut;
اُصَلّى فَرْضَ الْعَصْر ِاَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Sahaja aku sembahyang fardhu Asar empat rakaat tunai kerana Allah Taala".
4. SOLAT MAGHRIB
Waktu solat Maghrib bermula apabila tamatnya waktu Asar iaitu setelah terbenam matahari sehinggalah hilangnya cahaya kemerahan di sebelah langit barat. Solat fardhu Maghrib dikerjakan sebanyak 3 rakaat sahaja. Niatnya ialah;
اُصَلّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah Taala."
5. SOLAT ISYA'
Waktu solat isya' bermula setelah berakhirnya waktu solat maghrib iaitu setelah hilangnya cahaya merah di sebelah langit barat. Waktu isya' berakhir apabila terbitnya fajar sadiq, yang menandakan masuknya waktu Subuh. Solat fardhu Isya' dilakukan sebanyak 4 rakaat. Niatnya seperti berikut;
اُصَلّى فَرْضَ الْعِشَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى
Yang bermaksud: "Sahaja aku sembahyang fardhu Isya' empat rakaat tunai kerana Allah Taala."
Sila dengar audio di bawah untuk pratikkan bacaan lafaz niat kelima-lima solat fardhu
No comments:
Post a Comment